Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang secara bi-partisan telah meluluskan usul meminda Perlembagaan untuk menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun.

Pindaan ini adalah lakaran sejarah untuk semua rakyat Malaysia kerana ia meluaskan lagi penglibatan anak muda dalam proses demokrasi negara.

Pindaan ini amat penting kerana ia satu langkah ke hadapan dalam perkembangan demokrasi Malaysia. Ini adalah satu langkah untuk negara kita berada di fasa ketiga demokrasi.

Fasa pertama demokrasi ialah ketika kita mula-mula mengamalkan demokrasi, iaitu selepas kemerdekaan. Fasa kedua pula ialah apabila kita mengukuhkan institusi-institusi demokrasi.

Saya juga berharap agar pindaan ini turut merubah pandangan sarwa dan pendekatan terhadap penghakupayaan anak muda (youth empowerment).

Definisi penghakupayaan belia ialah “anak muda bebas menentukan sendiri keputusan-keputusan dan tindakan-tindakan yang berkaitan dengan dirinya, persekitarannya dan masa depannya”. Tetapi, selama ini, terdapat kekeliruan, manipulasi dan eksploitasi tentang konsep ini.

Contohnya, ialah apabila perkara-perkara yang bertentangan dengan penghakupayaan belia, seperti menyalah gunakan kedudukan dan/atau pertubuhan belia untuk perkara-perkara yang tiada kaitan dengan belia tetapi dikatakan sebagai dilakukan atas nama belia.

Justeru, adalah diharapkan dengan pindaan ini, maka, konsep penghaupayaan anak muda akan benar-benar difahami dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.