Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negeri telah mengadakan mesyuarat yang kedua semenjak penubuhannya diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 10 Oktober 2018

Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negeri telah mengadakan mesyuarat yang kedua semenjak penubuhannya diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 10 Oktober 2018. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri. Majlis Perundingan turut melantik empat ahli baharu iaitu YBhg. Dato’ Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob (Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri), YBhg. Dato’ Amran Mohamed Zin (Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala), YBhg. Dato’ Nadzirah Osman (Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Pelbagai Hala) dan YBhg. Dato’ Hsu King Bee (bekas Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Geneva dan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Jakarta).

Majlis Perundingan tersebut merupakan satu manifestasi komitmen Kerajaan untuk meningkatkan lagi kerjasama dengan masyarakat madani sebagai salah satu pemegang taruh (stakeholder) utama, khususnya di dalam usaha untuk merangka dasar luar negeri secara lebih telus, terbuka dan terangkum.

Dua agenda utama yang telah dibincangkan oleh ahli Majlis Perundingan adalah:

(a) Pelan Tindakan bagi melaksanakan intipati Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu yang telah dilancarkan secara rasmi oleh YAB Perdana Menteri pada 18 September 2019; dan

(b) Sambutan ulangtahun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-75 pada tahun 2020 (UN@75) serta isu-isu yang menjadi keutamaan dan akan diketengahkan oleh Malaysia pada tahun 2020.

Majlis Perundingan secara prinsipnya bersetuju dengan kandungan Pelan Tindakan yang memperincikan gerak kerja serta isu keutamaan yang perlu dibuat oleh Kementerian Luar Negeri selaras dengan iltizam yang dizahirkan di dalam Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu. Selain itu, Pelan Tindakan yang dipersetujui itu juga akan dijadikan sebagai asas di dalam merangka Pelan Strategik Kementerian Luar Negeri untuk tempoh 2021 – 2025.

Menyentuh agenda kedua mesyuarat, Majlis Perundingan turut bersetuju secara dasarnya dengan cadangan isu yang akan menjadi keutamaaan Malaysia pada tahun 2020 di peringkat PBB seperti pengukuhan semangat multilateralisme terutamanya pembaharuan PBB ke atas Majlis Keselamatan PBB. Sambutan UN@75 kelak akan membawakan tema “The Future We Want, the UN We Need : Reaffirming Our Collective Commitment to Multilateralism”. Malaysia akan turut menyertai pelbagai program sambutan yang lain seperti Sidang Kemuncak Beijing+25 dan NPT Review Conference 2020, serta UN2020 Initiative.