Pagi tadi Merasmikan Seminar Nasional ‘Hidup Bersama dalam Kepelbagaian: Pembinaan Bangsa dan Budaya Damai’

Pagi tadi Merasmikan Seminar Nasional ‘Hidup Bersama dalam Kepelbagaian: Pembinaan Bangsa dan Budaya Damai’, anjuran Institut Darul Ehsan-IDE yang mempertemukan para pengkaji, penyelidik, ahli akademik, pengamal undang-undang, pembuat dasar dan pemegang taruh khusus bagi membincangkan topik ini.

Kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran dan peluang. Cita-cita rakyat ialah untuk menikmati kehidupan yang aman dan harmoni, maju dan makmur, adil dan saksama, dan bebas daripada diskriminasi dan kesenjangan. Ia impian yang tercatat dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Rukunegara.

Kepelbagaian seharusnya dilihat sebagai satu sumber kekuatan yang menyegarkan, bukannya sebagai kelemahan yang menyukarkan. Di sebalik wujudnya perbezaan-perbezaan kaum dan agama, sebenarnya, wujud sekian banyak persamaan-persamaan dari segi nilai-nilai dan prinsip-prinsip fundamental yang seharusnya dibangun dan dikembang menjadi elemen-elemen persefahaman dan perpaduan, dan dalam bentuk dasar-dasar dan program-program yang memperkukuh bangsa Malaysia dalam erti kata yang sebenar.

Dari sudut yang lain, khususnya politik, sejak pilihan raya umumnya (PRU) yang pertama, percaturan politik Malaysia ialah soal mendapatkan sokongan Melayu dan Bumiputera bukan-Melayu serta mediasi dan tolak-ansur dengan kaum-kaum lain. Ini berlaku dalam suatu model/konfigurasi politik yang digelar ‘consociationalism’ yang ditentukan para elit politik etnik/kaum yang terlibat. Ia mewujudkan masyarakat yang dibahagi secara tajam oleh garis-garis agama, ideologi, bahasa, budaya dan kaum/etnik lalu menjadi sejumlah sub-masyarakat yang terpisah antara satu dengan lain dengan parti-parti politik, kumpulan-kumpulan berkepentingan dan media/komunikasi masing-masing. Landasannya ialah ‘Politik Ras’.

Tetapi ia tidak terhad hanya kepada politik semata-mata. Ia melimpah dalam dasar-dasar dan program-program kerajaan. Apabila politik ras diberi ramuan agama, maka, kesannya semakin negatif. Keputusan PRU12 (2008) dan PRU13 (2013) membuktikan bahawa konfigurasi ini semakin tidak relevan dalam demokrasi terbuka dan bersaing. Lalu, muncul keperluan membangunkan konfigurasi alternatif – ‘centripetalism’ yang berbilang kaum dan moderat – yang lebih baik untuk rakyat.