Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai dan Xi’an atas segala usaha dan komitmen tinggi yang telah ditunjukkan dalam usaha menangani dan membantu rakyat Malaysia berhadapan dengan wabak coronavirus 2019-nCoV di China.

Semenjak timbulnya wabak jangkitan coronavirus, pihak Kedutaan dan pejabat-pejabat Konsul Jeneral Malaysia di China sentiasa memantau dan memberi laporan terkini berhubung perkembangan wabak jangkitan coronavirus. Mereka turut menghubungi rakyat Malaysia yang telah berdaftar di Kedutaan/Pejabat Konsul Jeneral di seluruh China bagi memastikan kesihatan dan kebajikan rakyat Malaysia terjaga dan dipelihara. Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Beijing telah menubuhkan satu Emergency Response Team (ERT) bagi tujuan tersebut. Mereka bekerja sepanjang masa tanpa mengenal penat lelah walaupun di sepanjang percutian Tahun Baru Cina demi rakyat Malaysia.

Usaha kita belum berakhir selagi wabak jangkitan coronavirus masih belum dapat dibendung sepenuhnya. Saya hargai segala pengorbanan yang telah dilaksanakan oleh semua pegawai dan kakitangan Kedutaan Besar/Konsulat Jeneral. Semoga segala usaha dan komitmen tinggi yang telah ditunjukkan akan diteruskan.

Gambar: Kedutaan Besar Malaysia di Beijing