HARI KEBEBASAN AKHBAR SEDUNIA 2020

Saya mengucapkan selamat menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia (World Press Freedom Day) kepada para wartawan dan pengamal media di seluruh Malaysia. Sejak disytihar oleh Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1993, Hari Kebebasan Akhbar Sedunia disambut pada 3 Mei setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kebebasan akhbar.

Saya ingin menyatakan dengan jelas bahawa kerajaan komited dalam menegakkan kebebasan akhbar. Pada masa yang sama, kebebasan media haruslah selari dengan prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan. Dalam era teknologi maklumat abad ke-21, media bukan sahaja berperanan menyebarkan maklumat yang telus, tetapi juga melindungi masyarakat daripada penularan maklumat palsu yang boleh menggugat kestabilan dan keharmonian negara.

Saya bangga dengan pencapaian Malaysia dalam indeks kebebasan media Wartawan Tanpa Sempadan (Reporters Sans Frontières, RSF), di mana Malaysia mencatat peningkatan setinggi 22 anak tangga ke tangga 101 dalam kalangan 180 negara tersenarai dalam indeks terkini. Namun, kita perlu berusaha untuk bukan saja meningkatkan kedudukan negara dalam indeks antarabangsa, tetapi lebih penting lagi ialah meletakkan peranan media dalam pendekatan partisipatori bersama pemegang-pemegang taruh lain iaitu kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil sebagai rakan-kongsi pembangunan.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan penghargaan kepada para wartawan yang merupakan tonggak utama membawa infomasi yang terkini dan sahih kepada masyarakat. Juga menjadi tanggungjawab untuk kita semua menegakkan kebebasan wartawan untuk menjalankan tugas mereka dengan baik dengan menjunjung prinsip-prinsip dan amalan etika kewartawanan