PERASMIAN PEJABAT MCMC NEGERI PAHANG

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mula beroperasi di negeri Pahang pada tahun 2002 sebagai Pejabat Wilayah Timur, dan melalui transformasi yang dilaksanakan pada November 2019, operasi Pejabat Wilayah Timur telah diubah kepada Pejabat MCMC Negeri Pahang.
Transformasi ini adalah bertujuan agar operasi MCMC lebih fokus kepada isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan infrastruktur, pemantauan kualiti perkhidmatan, penguatkuasaan, advokasi dan isu pengguna khusus di negeri Pahang. Penubuhan Pejabat Negeri membolehkan MCMC pertingkatkan kerjasama dan kolaborasi yang lebih mendalam bersama kerajaan negeri, pentadbiran daerah, pihak berkuasa tempatan dan semua pihak berkepentingan bagi perkara yang berkaitan dengan industri komunikasi dan multimedia serta kepentingan pengguna.
Berhubung pembangunan perkhidmatan jalur lebar di negeri Pahang, berdasarkan statistik oleh MCMC sehingga Suku Pertama 2020, kadar penembusan jalur lebar bagi setiap 100 penduduk negeri Pahang ialah 101.7% berbanding kadar di peringkat nasional iaitu 127.4%.
Sungguhpun demikian, kadar peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk negeri Pahang, sehingga Suku Pertama 2020 mencatatkan peratusan 80.38% berbanding 88.96% di peringkat nasional. Beberapa daerah yang memerlukan perhatian khusus dan pantas mencatatkan kadar peratusan 4G yang masih rendah iaitu Lipis (54.7%), Cameron Highlands (65.8%), Rompin (66.8%), Jerantut (69.1%), Raub (73.1%) dan Bera (76.9%).
Bagi mengatasi perkara tersebut, di samping 1,827 struktur pemancar sedia ada yang telah beroperasi sehingga Julai 2020, sebanyak 30 menara baharu sedang dibina yang dijangka siap beroperasi menjelang Suku Kedua 2021. Tambahan pula, sebanyak 147 menara baharu sedang dirancang untuk dibina di seluruh negeri Pahang bagi tujuan perluasan rangkaian perkhidmatan 4G terutama di kawasan penempatan penduduk luar bandar dan juga berdasarkan kekerapan aduan yang diterima berhubung kualiti capaian perkhidmatan jalur lebar.

Antara contoh usaha terkini, adalah meningkatkan bilangan menara baharu di kawasan Sungai Koyan serta memastikan menara baharu ini disambungkan dengan gentian optik. Penyediaan infrastruktur sedemikian akan diguna pakai oleh semua pemberi perkhidmatan untuk memenuhi keperluan penduduk setempat dengan kualiti perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan baik.
Usaha penambahbaikan liputan perkhidmatan mudah alih, juga digiatkan bersama menaikkan kadar penembusan jalur lebar tetap bagi setiap 100 penduduk di negeri Pahang yang masih berada pada kadar 4.9%, berbanding 9.3% di peringkat nasional. Berdasarkan rekod sehingga 30 Jun 2020, kapasiti perkhidmatan jalur lebar tetap yang telah disediakan di negeri Pahang ialah sebanyak 220,272 laluan (ports) di mana hanya 63,878 laluan iaitu 29% dari kapasiti keseluruhan menggunakan teknologi gentian optik manakala baki selebihnya masih menggunakan kabel berasaskan tembaga (copper).

Justeru itu, satu inisiatif baharu telah bermula pada Suku Kedua 2020 iaitu sebanyak 32,121 premis di negeri Pahang yang masih menggunakan kabel berasaskan tembaga akan dinaik taraf kepada rangkaian gentian optik yang boleh menyokong perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi sehingga 1Gbps. Inisiatif penaiktarafan yang akan dilaksanakan oleh Telekom Malaysia Berhad ini dijangka siap menjelang suku pertama 2022.

Menerusi pelaksanaan inisiatif-inisiatif sedemikian, ia akan dapat meningkatkan liputan dan kualiti capaian Internet di Pahang sekaligus membolehkan penduduk setempat di sini mendapat manfaat secara menyeluruh.

Untuk menambah baik perancangan awal serta usaha yang sedang dijalankan, keperluan baharu bagi negeri akan dizahirkan berdasarkan maklum balas kepada Makmal Infrastruktur Digital Negara (Makmal). Saya berharap Makmal yang telah bersidang selama empat (4) minggu lalu akan mengesyorkan rangka kerja komprehensif bagi pembangunan infrastruktur digital negara dan negeri Pahang khususnya untuk melonjakkan ekonomi yang menjadi keperluan mendesak norma baharu pasca wabak COVID-19.

Pada hari ini juga, saya berkesempatan untuk melawat dan merasmikan Pejabat MCMC Pahang.