KEMENANGAN FILEM ‘GERAN’ DI FESTIVAL FILEM NYAFF 2020

Saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada pengarah tempatan Areel Abu Bakar dan seluruh kru produksi yang terlibat di depan lensa kamera dan di belakang tabir apabila filem tempatan, ‘Geran’ terbitan Layar Pictures Sdn. Bhd. diumumkan merangkul anugerah kecemerlangan filem aksi ‘Daniel A. Craft Award for Excellence in Action Cinema’ di Festival Filem Asia New York (NYAFF) ke-19 di Amerika Syarikat.

NYAFF yang akan bersiaran dalam talian melalui aplikasi Smart Cinema dari 28 Ogos hingga 12 Sept 2020, adalah festival filem berprestij di Amerika Syarikat yang mengangkat pembangunan seni dan budaya melalui jaringan sinema dunia. Kemenangan ini membuktikan bahawa industri perfileman negara mampu bersaing dan setaraf dengan filem-filem terbaik Asia.

Pencapaian yang membanggakan ini mencerminkan keupayaan dan aspirasi industri perfileman negara ke arah ‘Road to Oscars’, seiring dengan rangka kerja dan halatuju FINAS Malaysia dalam memastikan sasaran ini menjadi satu realiti dalam tempoh jangka masa yang panjang. Usaha ini perlu diteruskan dalam memartabatkan industri perfileman di peringkat antarabangsa.