SESI PERBINCANGAN PINDAAN AKTA PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA 1981 [AKTA 244]

Pada hari ini, saya telah mempengerusikan perbincangan pertama berkenaan Pindaan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 [Akta 244]. Ia dihadiri pegawai-pegawai Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), wakil Pejabat Peguam Negara, peguam-peguam dan para pemegang taruh daripada industri.

Perbincangan ini bersetuju dengan dua perkara utama, iaitu:
Pertama, aliran kerja proses pemindaan. Ia melibatkan penentuan dasar-dasar, libat urus dengan para pemegang taruh (Kerajaan, industri, masyarakat sivil, akademik, Ahli Parlimen, dan lain-lain), serta perbandingan dengan undang-undang berkaitan di negara-negara lain.

Kedua, penggubalan RUU Pindaan tersebut akan melibatkan beberapa perkara utama, iaitu: kedudukan pengguna-pengguna media sosial yang mengeluarkan bahan-bahan yang dikongsi dalam platform tersebut, penambahbaikan peraturan-peraturan sedia ada, dan memberikan definisi-definisi baharu terhadap definisi-definisi sedia ada dalam Akta 244.

Perbincangan kedua akan diadakan pada minggu pertama bulan September 2020 bagi memperhalusi perkara-perkara yang telah dibincangkan pada hari ini.

Saya yakin usaha ini akan membuahkan hasil dalam merealisasikan dan memperkasakan ekosistem industri kreatif negara.