MALAYSIA PRIHATIN: FOKUS PATRIOTISME ZAMAN COVID-19

Pada 31 Ogos 2020 ini, disebabkan pandemik covid19, kita tidak dapat menganjurkan perayaan Hari Kebangsaan seperti lazimnya. Tidak ada perarakan besar-besaran peringkat kebangsaan.
Walau bagaimanapun, kita tetap menganjurkan beberapa acara utama, tetapi dengan sederhana dan mematuhi SOP. Pada 30 Ogos 2020 malam, seperti lazimnya, perutusan Perdana Menteri akan disiarkan stesen-stesen TV dan radio.

Pada pagi 31 Ogos, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong akan berangkat ke Dataran Pahlawan, Putrajaya, bagi menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan keselamatan utama. Selepas itu, baginda akan menyampaikan Titah Di-Raja. Titah ini diadakan sempena ulangtahun ke-50 Rukun Negara, yang diisytiharkan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (ketika itu) pada 31 Ogos 1970. Acara-acara ini akan disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen TV dan radio. Di samping itu, stesen-stesen TV RTM, TV3 dan Astro Awani akan menyiarkan rancangan khas Hari Kebangsaan sebagai lanjutan kepada siaran langsung tersebut.

Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia perlu disambut walau dalam apa keadaanpun. Kerana ia tarikh-tarikh keramat buat kita. Ia tarikh-tarikh penting dalam membangun dan menyuburkan patriotisme Malaysia.

Pada saya, patriotisme mempunyai dua komponen. Pertama, ialah ‘makna’ patriotisme, iaitu cintakasih yang tebal dan kental terhadap negara. Ia amat besar. Ia bukan sekadar semangat. Ia bukan politik. Bukan gimik atau retorik. Ia melibatkan setiap dan seluruh rakyat. Ia meliputi sesuatu yang agung, seperti keyakinan, kebijaksanaan, keberanian, kesungguhan dan kesetiaan. Ia persoalan kewarganegaraan. Ia persoalan kemerdekaan dan kedaulatan. Makna patriotisme bersifat kekal.

Kedua, ialah ‘fokus’ patriotisme. Ia merujuk bagaimana makna patriotisme yang kekal itu diterjemah dalam bentuk ekspresi dan aksi yang khusus mengikut situasi dan kondisi serta masa dan tempat tertentu. Bagi generasi yang melalui pengalaman yang berbeza, fokus patriotismenya mungkin berbeza, walaupun ia tetap berpaksi pada makna yang sama.
Bagi generasi yang hidup pada zaman penjajahan, fokus patriotismenya ialah memperjuangkan kemerdekaan. Bagi generasi selepas itu, fokusnya ialah mengisi kemerdekaan. Bagi yang melalui konfrontasi, fokusnya ialah mempertahankan kedaulatan negara Malaysia yang baru dibentuk. Bagi yang mengalami 13 Mei, fokusnya ialah mengembalikan perpaduan rakyat. Manakala semasa kegawatan ekonomi pada akhir tahun 90-an, fokusnya ialah mempertahankan kedaulatan ekonomi negara.

Pada hari ini, fokus patriotisme ialah memerangi covid-19 dan menyusun-semula ekonomi negara.
Tema sambutan kali ini ialah ‘Malaysia Prihatin’. Logonya berbentuk ‘hati’ dan menggunakan warna-warna Jalur Gemilang.

Di sini, Malaysia bermaksud rakyat yang pelbagai bahasa, budaya dan agama; yang berada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak; di bandar dan luar bandar; dari pelbagai golongan dan pekerjaan; yang majoriti dan minoriti; dan diaspora Malaysia yang berada di luar negara. Dalam konteks memerangi covid-19, rakyat juga merujuk frontliners yang berbakti dan berkorban untuk semua.

Manakala Prihatin bermaksud mengambil berat dan memberi perhatian. Di sini, ia merujuk seluruh rakyat berganding bahu memerangi pandemik covid-19 tanpa mengira ideologi politik dan meliputi segenap lapisan masyarakat. Masing-masing memainkan peranannya dengan pelbagai cara dan berbuat pelbagai perkara, sama ada secara individu atau berkumpulan. Ia juga melambangkan keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap seluruh rakyat yang menghadapi pelbagai dugaan ketika ini.

Dalam menangani covid-19, sejak awal lagi, kerajaan PN membuat perancangan dan pelaksanaan yang sistematik. Pertama, ia membahagikan kerja-kerjanya kepada dua komponen, iaitu hal-ehwal kesihatan dan hal-ehwal bukan-kesihatan. Untuk memastikan kepaduan maklumat yang disampaikan kepada rakyat, maka, ditetapkan dua orang jurucakap kerajaan, iaitu Menteri/Ketua Pengarah Kesihatan bagi hal-ehwal kesihatan dan Menteri Kanan Pertahanan bagi hal-ehwal bukan-kesihatan.

Kedua, kerajaan memberikan tumpuan berat terhadap masalah ekonomi. Ia juga dibuat dengan perancangan dan pelaksanaan yang sistematik, iaitu melalui pendekatan ‘6R’ – Resolve (Ketegasan), Resilience (Ketahanan), Restart (Memulakan Semula), Recovery (Pemulihan), Revitalise (Memperkasa) dan Reform (Menyusun Semula).

Kini, wujud hubungan yang simbiosis antara kerajaan dan rakyat, serta antara rakyat dan frontliners. Apabila kerajaan membuat sesuatu keputusan dan mengeluarkan apa-apa arahan, contohnya PKP dan SOP, rakyat memberikan sambutan dan kerjasama yang amat baik. Apabila rakyat meluahkan masalah dan rungutan, kerajaan mendengar dan mengambil tindakan sewajarnya. Frontliners berbakti kepada rakyat. Rakyat pula membantu frontliners. Ini umpama “seseorang menyayangi saudaranya seperti menyayangi dirinya sendiri” dan “dicubit peha kanan, peha kiri terasa juga”.

Kita bersyukur, kerana dengan berkat kerjasama semua pihak, maka kini, Malaysia diiktiraf antara negara terbaik dalam menangani covid-19 dan memulihkan ekonomi.

Pembudayaan norma baharu menyebabkan lebih ramai rakyat lebih segera dan banyak menggunakan atau migrasi ke arah dunia digital. Contohnya, menggunakan teknologi-teknologi persidangan dalam talian, platform e-dagang dan pelbagai kandungan digital.
Norma baharu juga menuntut kita merayakan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia secara dalam media sosial.

Dalam hal ini, di samping acara-acara anjuran kerajaan dan yang diterbitkan media arus perdana, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, di mana jua anda berada, untuk menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan kreativiti sendiri, secara individu atau berkumpulan, contohnya, memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyi lagu Negaraku dan lagu-lagu patriotik, memperaga pakaian kebangsaan atau etnik masing-masing, dan sebagainya, dan mengongsi aktiviti-aktivit tersebut di media sosial (contohnya, twitter, facebook, instagram, you tube dan tik tok).

Maksudnya ialah kita mengongsi aktiviti-aktiviti tersebut, iaitu momen terindah sebagai rakyat Malaysia, di media sosial, dengan menggunakan #MomenNegaraku.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!