SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA 2020


PUSAT INTERNET MAMPU LAHIRKAN USAHAWAN BERDAYA MAJU

Pusat Internet yang diwujudkan di seluruh negara bukan sahaja mampu menjadi wadah untuk memperkasakan aktiviti penduduk setempat tetapi juga melahirkan golongan usahawan yang berdaya maju, sekaligus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi di sesebuah tempat.
Menerusi pelbagai latihan dan program yang dianjurkan di Pusat Internet, golongan usahawan boleh memanfaatkan kemahiran yang dipelajari untuk menambah sumber pendapatan selain memperluaskan jaringan produknya ke seluruh dunia.

Proses transformasi yang akan dijalankan ke atas Pusat Internet di seluruh negara nanti akan memfokuskan kepada tindakan menjadikan Pusat Internet sebagai pusat yang bukan sahaja mampu menjana peluang pekerjaan baharu, memacu pertumbuhan aktiviti e-dagang malahan juga menyediakan lebih banyak perkhidmatan dalam talian untuk kemudahan rakyat.

Di Sibu, Sarawak umpamanya, kewujudan Pusat Internet Rantau Panjang turut memberi impak yang positif kepada pembangunan sosioekonomi di sana. Kini, penduduk di Sibu mampu menjalankan urusan seharian dengan lancar di hujung hari mereka tanpa perlu berulang-alik. Selain itu, dengan adanya kemudahan Pusat Internet, ia turut memberi nilai tambah kepada penduduk untuk mempelajari kemahiran baharu bagi mendepani cabaran-cabaran mendatang.

Semalam, saya berkesempatan untuk melawat Pusat Internet Rantau Panjang di Sibu bagi meninjau program-program kelolaan Pusat Internet berkenaan. Sewaktu di sana, saya turut beramah mesra dengan beberapa orang usahawan yang mempamerkan produk-produk mereka seperti manik, kraftangan motif Sarawak, Monster Burger dan produk-produk pertanian.

Hasil pemerhatian saya mendapati, produk-produk yang dipamerkan mempunyai potensi yang cukup baik untuk dikembangkan. Menerusi bimbingan dan strategi yang betul, saya yakin produk-produk tersebut boleh dipasarkan secara meluas dan memberi pulangan yang lumayan kepada usahawan-usahawan berkenaan.

Pada masa yang sama, saya yakin langkah berkenaan akan mendorong lebih banyak agensi untuk mempertingkatkan perkhidmatan mereka untuk komuniti setempat seperti di Sibu dengan memanfaatkan kesalinghubungan Internet yang baik ke Pusat Internet.

Justeru, saya ingin mengajak semua rakyat di negara ini untuk memanfaatkan kemudahan Pusat Internet yang disediakan kerana pulangan yang diberikan dalam jangka panjang adalah baik.