PELANCARAN GERBANG SABAH, STESEN KABEL GENTIAN OPTIK DASAR LAUT

Pelancaran Gerbang Sabah, iaitu stesen kabel gentian optik dasar laut di Tanjung Aru, Kota Kinabalu, oleh Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mengukuhkan komitmen kerajaan dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk memajukan kemudahan jalur lebar di seluruh Sabah melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).

JENDELA mempunyai matlamat untuk menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang mampan dan pengalaman penggunaan jalur lebar yang mantap kepada seluruh rakyat Malaysia bagi menyokong dasar-dasar ke arah pembangunan ekonomi digital yang dirancang oleh Kerajaan. Inisiatif JENDELA juga menjadi keperluan untuk membantu rakyat Malaysia beralih kepada norma baharu selepas pandemik COVID-19 yang menyaksikan lebih banyak pergantungan kepada perkhidmatan digital untuk meneruskan kehidupan dan menjana pendapatan.

Gerbang Sabah di Tanjung Aru yang diuruskan oleh TM menempatkan pusat pendaratan Sistem Kabel Rakyat Malaysia (SKRM) yang menjadi titik sambungan jalur lebar Sabah ke dunia luar. Kapasiti Gerbang Sabah juga terus dipertingkatkan lebih tiga (3) kali ganda daripada keupayaan asal 4Tbps kepada 12.8 Tbps dalam tempoh tiga (3) tahun akan datang.

Sabah sebagai penerima terbesar manfaat JENDELA akan menyaksikan pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang agresif. Sehingga 2022, 419 menara telekomunikasi baharu akan dibina di seluruh Sabah, manakala 1,972 pemancar akan dinaik taraf kepada 4G. Sebanyak 251,166 tambahan premis akan disediakan dengan sambungan talian tetap gentian optik.