PERSIDANGAN MENTERI ASEAN MENGENAI KESELAMATAN SIBER (AMCC)

Semalam menghadiri Persidangan Menteri ASEAN Mengenai Keselamatan Siber (AMCC) bersama YBrs. Ir. Md. Shah Nuri Md. Zain, Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) yang diadakan secara maya.

AMCC merupakan mesyuarat tahunan yang dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Perhubungan dan Penerangan Singapura (MCI) serta Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) bersempena dengan Singapore International Cyber Week (SICW).

Sesi Utama AMCC, merupakan sesi tertutup yang melibatkan Menteri-Menteri ASEAN yang bertanggungjawab terhadap ICT dan Keselamatan Siber. Sesi Utama AMCC merupakan dialog peringkat menteri yang menyediakan platform bagi membincangkan isu-isu berkaitan keselamatan siber serta melengkapkan usaha ASEAN dalam memupuk kerjasama keselamatan siber dalam kalangan negara-negara anggota. Sesi Khas AMCC pula turut melibatkan rakan-rakan dialog ASEAN bagi membincangkan isu-isu keselamatan siber berkaitan COVID-19.

Negara-negara anggota ASEAN telah menyatakan sokongan terhadap perundangan antarabangsa, norma dan prinsip tanggungjawab tingkah laku negara dalam pengurusan keselamatan siber yang dibincangkan dalam laporan Group of Governmental Experts on Developments in the Field of Information and Telecommunications in the Context of International Security 2015 (UNGGE). Terdapat 11 norma yang dipersetujui dalam Laporan Akhir UNGGE 2015.

Semasa Sesi Utama AMCC, Malaysia membentangkan kemajuan pembangunan draf ASEAN Plan of Action on the Implementation Norms of Responsible States Behaviour in Cyberspace. Inisiatif pembangunan Pelan Tindakan ini diketuai oleh Malaysia, melalui NACSA dengan kerjasama Singapura, melalui CSA.

Semasa Sesi Khas AMCC pula, Malaysia telah menzahirkan sokongan dan komitmen terhadap penubuhan UNGGE dan Open-Ended Working Group on Developments in the Field of Information and Telecommunications in the Context of International Security (OEWG). Malaysia menekankan bahawa perbincangan secara mendalam bagi kedua-dua platform UNGGE dan OEWG dapat membantu negara-negara anggota dalam melaksanakan secara berkesan perundangan antarabangsa, norma dan prinsip tanggungjawab tingkah laku dalam pengurusan keselamatan siber yang telah dipersetujui.

SICW 2020 yang bertemakan “Co-oper
ation in a Post-COVID Future”, bertindak sebagai wadah untuk berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai isu utama keselamatan siber yang merangkumi ancaman keselamatan siber yang kian berleluasa, perundangan, pembinaan kapasiti serta norma-norma di ruangan siber untuk memajukan lagi perbincangan serantau yang telah dimulakan sejak tahun 2016. SICW mengumpulkan pembuat dasar dan pakar daripada kerajaan, industri serta ahli akademik bukan sahaja dari negara-negara anggota ASEAN malahan dari seluruh negara.