HARI POS SEDUNIA 2020

Sempena Hari Pos Sedunia pada 9 Oktober setiap tahun, saya menzahirkan penghargaan atas jasa warga pos dan kurier di seluruh negara. Petugas perkhidmatan pos dan kurier yang bertungkus-lumus secara berterusan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam membantu rakyat Malaysia mengharungi saat-saat getir ini amat dihargai.

Ketika sektor lain mengalami kemelesetan akibat pandemik COVID-19, sektor pos dan kurier masih berkembang dan menjana peluang pekerjaan sambilan sebagai talian hayat kepada mereka yang kehilangan kerja. Dalam tempoh pelaksanaan PKP, Pos Malaysia Berhad telah menyediakan peluang pekerjaan kepada 1,400 penghantar sambilan sebagai post rider. Syarikat-syarikat kurier lain turut mengambil langkah yang sama susulan lonjakan jumlah kiriman bungkusan sejak PKP.
Peranan pos dan kurier dalam menjana sektor e-dagang juga amat penting. Bagi membantu usahawan kecil dan sederhana yang semakin ramai berniaga secara dalam talian, syarikat-syarikat pos dan kurier utama telah memperkenalkan pakej kiriman PRIHATIN dengan caj RM5 sahaja untuk bungkusan satu (1) kilogram ke bawah sejak April hingga Oktober tahun ini.

Namun, perubahan teknologi dan gaya hidup membawa cabaran baharu kepada industri pos dan kurier. Jumlah penghantaran surat semakin menurun manakala kemunculan ekonomi gig menyaksikan kerja-kerja posmen tidak lagi dilaksanakan secara konvensional. Ini memerlukan anjakan paradigma dalam sektor pos dan kurier yang kini mempunyai 111 pemegang lesen bagi memastikan industri ini terus berdaya maju.

Berdasarkan keperluan ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pihak industri dan agensi-agensi yang berkaitan akan mengadakan makmal perancangan hala tuju industri pos dan kurier bagi membincangkan perancangan strategik ke arah pengukuhan keupayaan industri serta menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pengguna. Makmal ini dijangka bermula pada 12 Oktober 2020 dan bakal berlangsung selama dua (2) minggu. Maklumat lanjut berkaitan makmal ini akan diumumkan oleh MCMC dalam tempoh terdekat.