PELANCARAN STRATEGI KESELAMATAN SIBER MALAYSIA 2020-2024

PELANCARAN STRATEGI KESELAMATAN SIBER MALAYSIA 2020-2024

Mewakili Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020-2024 di KLCC hari ini.

Teknologi digital kini telah menjadi keperluan asas dan sebahagian besar dalam kehidupan kita. Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penggunaan internet seperti e-dagang & pembelajaran atas talian juga telah meningkat dengan ketara di setiap lapisan masyarakat. Kerajaan komited untuk terus memberi tumpuan kepada peralihan ke arah ekonomi baharu yang inklusif dan mampan. Dalam Konteks ini, kerajaan memperluaskan penggunaan teknologi digital secara berterusan.

Di sebalik kemajuan teknologi, soal keselamatan siber menjadi keutamaan dalam agenda pertahanan dan keselamatan negara. Menurut Laporan Risiko Global oleh Forum Ekonomi Dunia, ancaman keselamatan siber merupakan satu daripada 5 risiko global terbesar di dunia.

Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menggariskan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020-2024 yang merangkumi 12 strategi, 35 pelan tindakan dan 113 program sebagai kesiapsiagaan Negara terhadap apa jua bentuk serangan siber.

Strategi Keselamatan Siber Malaysia ini bertujuan untuk menyelaraskan pelaksanaan strategi pengurusan ancaman siber. Pendekatan yang berbentuk active cyber defence ini adalah hasil kerjasama di antara beberapa kementerian termasuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, KKMM dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) yang telah diberi tanggungjawab dari segi penggubalan, pelaksanaan, pemantauan dan penyelarasan dasar keselamatan siber.

Strategi ini adalah bersandarkan kepada 5 tonggak utama iaitu:

  • Mempertingkatkan keberkesanan pengurusan tadbir urus & keselamatan siber negara;
  • Memperkukuh penguatkuasaan jenayah siber;
  • Pemerkasaan ICT bertaraf dunia;
  • Mempertingkatkan pembangunan kapasiti & keupayaan tenaga mahir’
  • Memperkukuh kerjasama antarabangsa

Usaha dan tindakan agresif kerajaan yang menyeluruh akan mengukuhkan infrastruktur ICT dan sekali gus memastikan Malaysia terlindung daripada ancaman keselamatan siber.