KENYATAAN MEDIA: KESAHIHAN DATA RASMI KKM DIJAMIN DALAM USAHA MENANGANI PANDEMIK COVID-19

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusi oleh YAB Perdana Menteri pada 27 Oktober 2020 memandang berat terhadap percubaan pihak tertentu yang mempersoal kesahihan data rasmi yang diumum oleh KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM) setiap hari. Percubaan ini adalah perbuatan jahat untuk sengaja menimbulkan kekeliruan serta mencetuskan ketidakyakinan terhadap usaha Kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19.

Kerajaan sejak awal menangani pandemik COVID-19 sentiasa memastikan data-data pihak KKM adalah sahih. Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kes ini dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Saya memberi jaminan bahawa data daripada pihak KKM yang disiar oleh saluran-saluran RTM – Radio Televisyen Malaysia dan BERNAMA adalah sahih. Saya juga menasihati rakyat agar sentiasa menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita daripada sumber yang rasmi atau boleh dipercayai dan berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya.

Sekiranya terdapat keraguan terhadap kesahihan sesuatu berita atau maklumat, layari www.sebenarnya.my atau salurkan maklumat kepada Pasukan Respon Pantas (PRP) di talian 03-89115103.