MAKMAL INDUSTRI POS DAN KURIER NEGARA BERMULA HARI INI

Industri perkhidmatan pos dan kurier merupakan tunjang kepada perkhidmatan penghantaran dan komunikasi sejak sekian lama. Dengan kemajuan teknologi dan penularan pandemik COVID-19, perkhidmatan dalam talian seperti e-dagang, ekonomi gig dan sistem transaksi kewangan telah meningkat secara ketara dan kini menjadi sebahagian besar daripada cara hidup masyarakat. Perkembangan ini mempengaruhi bentuk serta masa depan industri pos dan kurier.

Pada separuh pertama tahun 2020 iaitu semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jumlah penghantaran surat dan bungkusan telah melonjak kepada 160 juta, iaitu pertambahan sebanyak 10% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Peningkatan ini mendorong syarikat berlesen seperti Pos Malaysia Berhad mengambil 1,400 pekerja sambilan yang dikenali sebagai Pos Rider bagi membantu proses pengiriman kepada pelanggan. Ketika ramai pekerja terpaksa diberhentikan akibat keadaan ekonomi yang terjejas, Pos Malaysia dan syarikat lain dalam industri ini memberi peluang pekerjaan untuk rakyat menjana pendapatan.

Justeru, adalah bertepatan masanya industri pos dan kurier negara diperkasakan agar terus berdaya saing dan mampu mendakap teknologi terkini untuk menghadapi cabaran masa depan. Daya tahan industri ini perlu diberi perhatian kerana ia merupakan komponen strategik dalam pelan pembangunan ekonomi digital negara. Industri ini memerlukan anjakan paradigma serta sinergi baharu untuk kelangsungan perniagaan dan perkhidmatan agar seluruh rakyat, terutamanya di luar bandar, akan terus menikmati perkhidmatan terbaik.

Makmal Industri Pos dan Kurier Negara (NPCIL) yang dikelolakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dimulakan hari ini dan akan berlangsung selama tiga minggu hingga 4 Disember 2020 bagi merangka pelan tindakan baharu untuk memperkukuhkan industri ini supaya terus mampu berdaya maju dan memberi kualiti perkhidmatan pos dan kurier yang memuaskan kepada semua segmen pelanggan.

Makmal ini akan meneliti dan memperkenalkan rangka kerja dalam aspek tadbir urus industri, pendekatan kawal selia, kecekapan operasi, kerjasama perkhidmatan dan pengalaman pelanggan. Makmal ini akan disertai oleh wakil Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), MCMC, agensi-agensi berkaitan serta para pemain utama industri bagi mencapai matlamat yang ditetapkan. Laporan penuh dijangka akan siap menjelang minggu ketiga Disember 2020.

Saya yakin pendekatan ini akan dapat menghasilkan hala tuju yang menyeluruh ke arah memantapkan industri pos dan kurier untuk manfaat setiap rakyat di mana jua dan menjadi teras penting dalam pembangunan ekonomi digital. Saya akan memantau kemajuan makmal perundingan tersebut dan akan mengumumkan perkembangannya dari semasa ke semasa.