SELAMAT HARI SUKARELAWAN ANTARABANGSA

Kesukarelaan adalah satu nilai dan amalan murni. Mereka yang terlibat, sama ada secara individu atau berkumpulan dianggap melaksanakan kerja yang terpuji.

Ada tiga orientasi kesukarelaan, iaitu ‘aktiviti’, ‘bakti’ dan ‘advokasi’. ‘Aktiviti’ ialah kerja/program sukarela yang lazimnya ‘one-off’, seperti seminar menjawab soalan peperiksaan SPM.

‘Bakti’ ialah kerja/program sukarela yang memakan masa yang agak panjang dan dapat dinilai kesannya, seperti kelas bimbingan untuk pelajar-pelajar yang bakal menduduki SPM.

‘Advokasi’ ialah kerja/program sukarela yang melibatkan proses memperjuangkan sesuatu aspirasi, idealisme, prinsip dan sebagainya, contoh mendapatkan kemudahan persekolahan yang lebih baik untuk pelajar-pelajar yang bakal menduduki SPM.

Kesukarelaan turut melibatkan prinsip-prinsip lain seperti altruisme, idealisme, fastabiqul khairat (berlumba-lumba membuat kebajikan), ‘goodness of the heart’ dan sebagainya.

Dalam konteks pembangunan, iaitu dalam tiga sektor utamanya (kerajaan, perniagaan/swasta & masyarakat sivil), lazimnya kesukarelaan dikira sebahagian daripada masyarakat sivil (CSO).

Kini, kesukarelaan semakin kompleks, lalu lahir bentuk-bentuk baru, contohnya ‘sukarelawan sepenuh-masa’ , ‘sukarelawan profesional’, dan ‘sukarelawan digital’.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, KKMM akan melipatgandakan kerja-kerja ‘komunikasi sukarelawan’ iaitu merapatkan hubungan dan kerjasama sesama pelbagai bentuk dan kumpulan sukarelawan, dan hubungan mereka dengan kerajaan supaya peranan mereka dapat dioptimumkan, eg. dalam menangani pandemik covid19 dan membangun komuniti digital. //