Hari ini dalam Dewan Negara menjawab pertanyaan YB Senator Tuan Ismail bin Yusop dan YB Tuan Senator Alan Ling Sie Keong tentang Identiti Nasional Negara

Hari ini dalam Dewan Negara menjawab pertanyaan YB Senator Tuan Ismail bin Yusop dan YB Tuan Senator Alan Ling Sie Keong tentang Identiti Nasional Negara, dan usaha Kerajaan dalam menggalakkan pengunaan teknologi digital khususnya aplikasi e-dagang dalam perniagaan kepada usahawan Pengusaha Kecil & Sederhana (PKS) dan Usahawan Mikro, membawa perniagaan dari ‘offline’ ke ‘online’.

IDENTITI DIGITAL NASIONAL

Identiti Digital Nasional merupakan pengesahan identiti individu secara elektronik berdasarkan ciri-ciri biometrik dan maklumat demografik bagi memastikan urusan perkhidmatan terutamanya dalam talian dapat dilaksanakan dengan cepat, mudah, selamat, terlindung dan terjamin.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah melaksanakan kajian dan rundingan awam bagi membangunkan rangka kerja Identiti Digital Nasional mulai 21 Nov 2019 – 31 Ogos 2020. Konsep ini telah mendapat sambutan positif dan secara amnya Malaysia berada dalam kedudukan terbaik untuk memulakan atau melaksanakan inisiatif ini.

PLATFORM E-DAGANG UNTUK PKS & USAHAWAN MIKRO

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, KKMM dan Malaysia Digital Economy Corporation telah melaksanakan pelbagai usaha dalam menggalakkan PKS dan usahawan mikro menggunakan teknologi digital khususnya aplikasi e-dagang dalam perniagaan seperti :

a. Program eUsahawan yang merupakan pembelajaran secara luar dan dalam talian yang menyediakan pengetahuan dan ilmu keusahawanan digital kepada usahawan mikro, desa dan belia untuk menjana pendapatan, menjalankan pemasaran produk dan meningkatkan penjualan. Sehingga November 2020, seramai 394,894 usahawan telah dilatih dan daripada jumlah ini, seramai 155,885 orang telah berjaya melaporkan jualan sebanyak RM965.48 juta.

b. Perkhidmatan eDagang Setempat (PeDAS) iaitu satu program membantu para usahawan luar bandar mendigitalkan perniagaan mereka yang selama ini dilakukan secara offline. Program ini menyediakan perkhidmatan khidmat nasihat dan bantuan sokongan dan sehingga November 2020, sebanyak 32 PID telah diaktifkan dengan program PeDAS.

c. Inisiatif Zon Perdagangan Bebas Digital atau “Digital Free Trade Zone” (DFTZ) yang merupakan inisiatif strategik yang bertujuan untuk meningkatkan eksport PKS tempatan ke luar negara. Sehingga kini, lebih daripada 20,000 PKS tempatan yang telah berdaftar serta menyertai program ini bagi tujuan menempatkan produk mereka di dalam platform eMarketplaces atau pasaran maya serantau dan global.

d. Go-Commerce merupakan pusat sumber dalam talian yang mempunyai pelbagai rujukan dan panduan lengkap untuk membantu PKS dan usahawan mikro untuk menyertai dan menggunakan aplikasi e-dagang. Sehingga kini, platform Go-eCommerce telah mempunyai lebih 260,000 pengguna.

Manakala di bawah PENJANA, @mymdec melaksanakan beberapa inisiatif seperti Kempen eDagang untuk PKS & Usahawan Mikro (PKSM) dengan 45,000 pendaftaran PKSM baharu dan Kempen ‘Shop Malaysia Online’ melibatkan 210,000 peniaga di seluruh negara.