PENGHARGAAN KEPADA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG MENGIKTIRAF INFRASTRUKTUR TELEKOMUNIKASI SEBAGAI UTILITI AWAM

Saya menyambut baik dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana menyokong agenda Kerajaan Persekutuan dalam mengukuhkan kesalinghubungan internet menerusi pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan telah menguatkuasakan polisi infrastruktur telekomunikasi sebagai utiliti awam, setaraf dengan bekalan air dan elektrik.

Melalui penguatkuasaan polisi ini, perancangan penyediaan infrastruktur telekomunikasi akan menjadi antara kriteria Kebenaran Merancang (KM) bagi pembangunan baharu di sesebuah lokasi. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mempunyai pembangunan yang dirancang dengan lebih baik yang menjadikannya lebih berdaya saing dan mampan bagi menarik minat pelabur kerana perkhidmatan komunikasi telah tersedia. Selain itu, syarikat penyedia perkhidmatan juga akan mendapat peluang pelaburan yang lebih menarik.

Saya juga mengalu-alukan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Johor, Kedah dan Melaka yang telah memulakan proses untuk menguatkuasakan polisi ini.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama pihak industri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan infrastruktur telekomunikasi sebagai utiliti ketiga akan menjadi kenyataan menjelang tahun 2021.

Kepantasan Kerajaan-kerajaan Negeri dan PBT dalam meluluskan permohonan akan memberi impak positif kepada kemasukan lebih banyak pelaburan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi, sekaligus mencetuskan spill-over effect kepada pembangunan sesebuah lokasi atau negeri.

Saya yakin kejayaan JENDELA akan menjadi komponen penting dalam usaha membawa kemakmuran kepada negara dan dinikmati semua lapisan masyarakat. Kami di KKMM akan memantau perkembangan inisiatif ini secara dekat untuk memastikan sasaran JENDELA berjaya dicapai mengikut jadual.