TAHUN 2021 MARA KE HADAPAN

Tahun 2020 menyaksikan negara kita melalui pelbagai krisis melibatkan ledakan politik, pandemik kesihatan dan kemelesetan ekonomi yang tidak pernah berlaku dalam sejarah. Kerajaan Perikatan Nasional yang prihatin berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari keseimbangan antara menangani pandemik COVID-19 dan menguruskan ekonomi.

Dalam menyambut tahun baharu 2021, di samping menyenaraikan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan sepanjang tahun dan dalam rangka Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025), kita juga perlu merenung kembali kedudukan kita. Kita pernah mempunyai kerangka dan sistem yang berkesan dengan tokoh-tokoh pemikir dan negarawan yang budiman sehingga mencapai kejayaan yang membanggakan dan mendahului negara-negara membangun yang lain. Kini kita berhadapan banyak masalah dan mula ketinggalan dengan negara-negara lain.

Mengapa? Ini adalah kerana kini wujudnya kumpulan elit politik dan penyokong-penyokong mereka daripada pelbagai bidang yang mengekang pemikiran progresif dan berintegriti yang menyebabkan kita terkebelakang dalam banyak hal. Oleh yang demikian, tiba masanya untuk kita melakukan anjakan perubahan atau islah kepada sistem yang lebih tersusun bagi menggerakkan kita ke hadapan. Ketelusan, akauntabiliti dan integriti mesti diangkat kembali dalam sistem demokrasi yang berfungsi dengan baik.

Pandemik COVID-19 juga secara langsung mempercepatkan transformasi pendigitalan dengan penggunaan teknologi digital dan perkhidmatan internet oleh semua lapisan masyarakat dalam semua aspek termasuk perniagaan, perkhidmatan, pendidikan, komunikasi, hiburan dan sebagainya. Bagi mengurangkan jurang digital serta menyediakan perkhidmatan telekomunikasi yang berkualiti dan inklusif, pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan dipergiatkan lagi dalam tahun 2021, terutamanya untuk kawasan bercapaian yang paling lemah seperti kawasan pedalaman di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Kerajaan juga akan bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri untuk merealisasikan polisi Kerajaan mengiktiraf infrastruktur telekomunikasi sebagai utiliti awam seperti air dan elektrik.

Dalam masa yang sama, ekonomi digital dijangka akan terus memberi sumbangan penting kepada negara berdasarkan ramalan pertumbuhan ekonomi pada kadar 6.7 peratus tahun hadapan seperti laporan Bank Dunia. Sehubungan dengan itu, MDEC dengan sokongan padu KKMM akan meneruskan inisiatif berpaksikan kemakmuran bersama untuk rakyat dan seterusnya mencapai cita-cita Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN. Malaysia akan turut mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1) pada 21-22 Januari 2021. Berpandukan tiga teras utamanya iaitu menyediakan rakyat Malaysia berkemahiran digital, perniagaan diperkasa secara digital dan menarik pelaburan digital, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan selaras dengan perincian Belanjawan 2021 dan seterusnya mengharungi era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan menjayakan Malaysia 5.0. Dalam masa yang sama, kita akan memperkukuhkan infrastruktur keselamatan siber negara yang berpandukan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020-2024.

Seperti sektor lain, pandemik ini juga telah memberi kesan yang besar kepada pendapatan dan hala tuju penggiat industri kreatif negara. KKMM berusaha untuk merancakkan industri kreatif Malaysia dengan mewujudkan Perbadanan Muzik serta pelan ‘Road to Oscar & Grammy Awards’ yang akan mengaktifkan bakat-bakat baharu dan penggiat-penggiat seni tanah air untuk menghasilkan karya yang berdaya saing taraf antarabangsa. Kita juga turut merencanakan penganjuran Anugerah Nasyid Kebangsaan dan Antarabangsa yang akan menjadikan Malaysia sebagai pusat tumpuan pembangunan karya nasyid.

Kami di KKMM juga akan meningkatkan komunikasi dua hala antara Kerajaan dengan komuniti yang selama ini agak terpinggir seperti komuniti orang kurang upaya (OKU) dan Orang Asli. Sehubungan dengan itu, kami di KKMM akan mewujudkan Unit Komunikasi OKU yang diketuai oleh warga OKU mulai tahun 2021. Kita juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam memastikan semua komunikasi Kerajaan sampai ke setiap warga Orang Asli. Selain itu, komunikasi komuniti luar bandar juga akan ditambah baik di setiap daerah dengan kerjasama dengan pemimpin tempatan.

Sebelum menutup tirai tahun 2020, kita perlu mengambil iktibar daripada mereka yang terkesan oleh pandemik COVID-19, mereka yang terkorban dan yang masih melawan pandemik tersebut hingga ke saat ini. Kita juga tidak lupa jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus secara berterusan sejak berlakunya pandemik ini. Ini termasuk petugas kesihatan, anggota polis dan tentera, perkhidmatan telekomunikasi, petugas media, penghantar barangan dan ramai lagi. Kita harus membantu dan meringankan beban mereka yang menjaga kita selama ini.

Walaupun masih berhadapan dan melawan pandemik COVID-19, ia tidak bermakna kita harus menunggu semata-mata tanpa berikhtiar untuk bangkit semula. Mari kita bersama-sama memulakan tahun 2021 untuk bangkit, berpadu tenaga dan berusaha untuk mendepani cabaran masa hadapan bagi mencapai kejayaan membina kesejahteraan negara ke arah Malaysia Prihatin.