KENYATAAN MEDIA: UTAMAKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT MELANGKAUI SEMPADAN POLITIK

Saya amat berterima kasih dan terharu atas kepercayaan yang diberikan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Parti Pribumi BERSATU Malaysia (BERSATU), YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melantik saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Pahang dan Ketua Majlis Pimpinan BERSATU Negeri Pahang.

Kedua-dua tugas ini amat berat dan penting, dan saya berikrar akan memikulnya dengan amanah dan bersungguh-sungguh sebagai anggota parti dalam perjuangan menegakkan keadilan, kesaksamaan dan kemakmuran demi agama, bangsa dan tanah air tercinta. Saya merakamkan ucapan penghargaan kepada Timbalan Presiden BERSATU, YB Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu yang telah menggalas tugas sebagai Ketua Majlis Pimpinan BERSATU Negeri Pahang sebelum ini dengan begitu cemerlang.

Saya ingin mengulangi pendirian sebulat suara Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dalam mesyuaratnya malam tadi yang memberikan sokongan yang penuh dan tidak berbelah bagi kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, Pengerusi PN, dan Presiden BERSATU untuk terus memimpin negara dan parti.

Kita semua hendaklah bersatu dalam saf kepimpinan dan parti yang padu dan kuat untuk sama-sama berperanan membantu YAB Tan Sri Muhyiddin menangani pandemik COVID-19 dan mengemudi pemulihan ekonomi. Kedua-dua perkara ini adalah fokus kita pada masa ini. Meskipun kita juga berhadapan dengan krisis politik, tetapi, ia kita hadapi dengan bijaksana dan tertib.

Rakyat menaruh harapan untuk kita berkhidmat dengan sehabis baik sebagai kerajaan yang prihatin, bukannya berpolitik tanpa akhiran. Pada masa ini, tugas utama kita ialah memastikan wujudnya kestabilan politik yang membolehkan kerajaan yang berfungsi (functional) dapat melaksanakan segala tugas dan tanggungjawabnya dengan baik bagi memenuhi harapan dan aspirasi rakyat dalam pelbagai bidang kehidupan. Rakyat sedang berada dalam kesusahan. Peranan kita ialah membantu rakyat meringankan bebannya dan membangunkan masa depannya.

Buat masa ini, di Pahang, kita menumpukan tugas untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Sekretariat BERSATU Pahang akan dengan sesegeranya menyalurkan bantuan kepada bahagian-bahagian yang terjejas dengan banjir. Selanjutnya, saya akan mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri BERSATU Pahang dengan secepat mungkin bagi meneruskan agenda perjuangan parti di peringkat negeri dan merangka proses membangunkan PN negeri Pahang.

Semoga usaha-usaha kita sentiasa mendapat bimbingan dan keredhaan daripada Allah S.W.T.