OPERASI MEDIA SEPANJANG TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

Kita masih berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang memerlukan tindakan segera Kerajaan dan rakyat untuk bersama-sama memutuskan penularannya. Susulan itu, Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 13-26 Januari 2021 yang melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, negeri Selangor, Pulau Pinang, Johor, Melaka serta Sabah, manakala PKP Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di negeri Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, serta PKP Pemulihan (PKPP) di negeri Perlis dan Sarawak.

Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP di negeri-negeri yang terlibat, operasi organisasi media bagi tujuan produksi program, berita, rencana dan kandungan tempatan untuk penyampaian maklumat adalah dibenarkan manakala operasi media yang berbentuk penyiaran lain seperti hiburan tidak dibenarkan. Operasi media di negeri yang terlibat dalam PKPB dan PKPP boleh meneruskan perkhidmatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Maklumat lanjut tentang SOP sektor komunikasi (termasuk telekomunikasi dan internet, penyiaran, serta pos dan kurier), teknologi maklumat, e-dagang dan industri kreatif boleh didapati di laman sesawang www.kkmm.gov.my atau menghubungi Hotline Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di talian 03-89115351 (8.00 pagi hingga 10.00 malam).

Para petugas media yang merupakan antara barisan hadapan ketika negara berhadapan dengan situasi sukar ini diingatkan untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan dalam menjalankan tugas bagi melindungi diri serta menjaga keselamatan keluarga dan komuniti daripada ancaman COVID-19.