CIAPAN TWITTER DIKAITKAN AKAUN RASMI SURUHANJAYA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA

Saya memandang serius isu tular tentang ciapan tidak senonoh pada tahun 2014 yang dikaitkan dengan akaun rasmi Twitter Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh dari semua sudut, termasuk tatacara pengendalian akaun Twitter tersebut.

Sekiranya didapati berlakunya kesalahan, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab, tidak kira sama ada mereka masih lagi berkhidmat di MCMC ataupun tidak. Kami di KKMM tidak akan berkompromi serta akan bertindak secara telus dalam menangani isu ini.