SOP INDUSTRI KREATIF DITAMBAH BAIK, KELANGSUNGAN PENGGIAT DIBELA

Majlis Keselamatan Negara telah menerima prosedur operasi standard (SOP) untuk industri kreatif yang ditambah baik dengan mengambil kira cadangan dan pandangan yang dikemukakan oleh pemain dan penggiat industri kreatif kepada Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM). SOP yang ditambahbaik ini akan terpakai dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan dengan itu bagi sektor industri kreatif, Kerajaan telah membenarkan operasi produksi animasi dan muzik, pasca-produksi di studio, pembangunan muzik secara digital, rakaman lagu di studio, pra-produksi penggambaran dan aktiviti penggambaran di studio tanpa penonton mulai 10 Februari 2021. Perincian SOP ini boleh didapati di laman web Majlis Keselamatan Negara (www.mkn.gov.my) dan KKMM (www.kkmm.gov.my).

Bagi tujuan ini, syarikat produksi perlu memohon kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) untuk kebenaran aktiviti penggambaran dalam studio tanpa penonton daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui pautan http://www.finas.gov.my/english-permohonan-sijil…/. Saringan ujian COVID-19 perlu dilakukan bagi semua tenaga produksi yang terlibat dan keputusan ujian perlu dikemukakan kepada FINAS tiga hari sebelum tarikh penggambaran. Pemantauan berkala juga akan dilaksanakan di lokasi penggambaran oleh penguatkuasa FINAS bagi memastikan pematuhan SOP tidak dikompromi.

Manakala aktiviti penggambaran di luar studio (outdoor) termasuk penganjuran acara langsung dan juga tayangan di pawagam, SOP sedang diperincikan dan akan dibentangkan dalam masa terdekat.

KKMM berharap agar penambahbaikan kepada SOP industri kreatif akan dapat membantu penggiat bidang ini untuk terus berkarya demi kelangsungan sumber pendapatan masing-masing.