Sesi taklimat Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA)

Bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Mohamad dalam sesi taklimat pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan wakil-wakil daripada Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia, Persatuan Usahawan Orang Asli Semenanjung Malaysia dan Persatuan Siswazah Orang Asli Malaysia (PUOA) secara maya semalam.

Sesi taklimat ini menyentuh tentang liputan perkhidmatan selular di penempatan Orang Asli di mana separuh dari jumlah keseluruhan kampung Orang Asli di seluruh Malaysia tersedia dengan liputan selular yang memuaskan. Menerusi #JENDELA fasa pertama, kebanyakan usaha penambahbaikan telah disiapkan dan bakinya sedang dalam pelaksanaan terakhir. Manakala perancangan fasa kedua pula akan melihat keseluruhan kampung Orang Asli di Malaysia mendapat kualiti dan liputan perkhidmatan selular yang lebih menyeluruh, stabil dan memuaskan. Selain itu, MCMC juga telah melaksanakan program-program latihan seperti latihan asas ICT, e-pembelajaran, Keusahawan dan advokasi dengan penyertaan 1,923 dari masyarakat Orang Asli.

Sesi ini turut mendengar pandangan dan cabaran masyarakat Orang Asli dalam mendapatkan perkhidmatan internet jalur lebar yang berkualiti serta isu pembelajaran dalam talian. Usaha akan diteruskan bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, KKMM menerusi MCMC akan meneruskan inisiatif JENDELA demi memastikan masyarakat orang asli menerima kualiti serta perkhidmatan internet yang memuaskan demi kemudahan dalam kehidupan seharian mereka.