LAWATAN KERJA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE MALAYSIA BERSEMPENA RUNDINGAN PEMIMPIN TAHUNAN KALI KE-22 ANTARA MALAYSIA DENGAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Perdana Menteri YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad menerima keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Putrajaya pada 5 Mac 2019, bersempena dengan Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-22 antara Malaysia dengan Negara Brunei Darussalam.

Ini merupakan pertemuan julung kali antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah di bawah kerangka Rundingan Pemimpin Tahunan, iaitu platform peringkat tertinggi bagi perbincangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Kedua-dua pemimpin sebelum ini telah bertukar-tukar lawatan pada bulan Mei dan September 2018 susulan pelantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh.

Bertitik tolak daripada hubungan istimewa yang telah sekian lama terjalin melalui persamaan warisan dan budaya, Malaysia dan Brunei berada pada landasan tepat ke arah membina usahasama dan perkongsian yang lebih menyeluruh. Perdana Menteri dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengambil peluang semasa lawatan penting serta mesyuarat tahunan ini untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan di samping turut meneroka potensi-potensi baru untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua buah negara.